Saturday, August 8, 2015

15 tanda kematian mulia



KEMATIAN Micheal Jackson (MJ) mengejutkan dunia. Dunia menangis kerana kehilangan seorang insan seni yang hebat. Begitulah resam dunia akan mengenang selepas ketiadaan seseorang. Lagi banyak jasa yang ditinggalkan lagi ramai orang merasakan kehilangan kita. Kali ini bukan kita nak bincangkan jasa MJ tetapi kita perkatakan mengenai kematian mengejut. 

Itu yang patut kita tanya diri kita, bagaimana ketika kita mengakhiri kehidupan kita nanti dalam 'husnul khatimah' ataupun 'su'ul khatimah.'  Katanya, kematian MJ masih lagi menjadi teka-teki. Mati ketika yang tiada bekalan dan persediaan adalah amat menakutkan. Pernahkah kita meminta supaya kita dimatikan dengan penutup yang baik 'husnul khatimah'? 

Sebenarnya bukan kena minta sahaja tetapi kena buru dan kena cari. Kali ini kita bincangkan tanda-tanda mati husnul khatimah. Antara tanda mati husnul khatimah ialah: 

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga." (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: "Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya." (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas'ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur." (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang. 

5. Mati dalam peperangan fisabilillah. 

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian? 

Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah. 

Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit." 

Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"

Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim." (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.

Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: "Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah." (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu': "Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid." (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid." (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. "Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. "Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid." 

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur)."

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

Thursday, June 5, 2014

Mudah Memahami Hukum Hudud

 Muqaddimah.


1. Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas penjenayah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan jumlah hukumannya dengan nas yang jelas di dalam al quranil karim. Justeru sebagai manusia yang beriman kepada Allah swt dan kitabNya, kita tidak mempunyai pilihan melainkan dengar dan taat terhadap apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Ingatlah penegasan wahyu Allah swt kepada kita semua melalui surah al Ahzab ayat ke  36 :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

maksudnya :

"dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata."

2. Hudud bukan sekadar hukum Allah swt yang telah ditetapkan secara tekstual di dalam al Quran dan kemudiannya dibuku dan dibekukan, tetapi ia suatu ketetapan yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan ummat manusia sebagai proses keadilan untuk mengurus dan mengatur kehidupan ummah dari Tuhan pencipta manusia. Lihat ketetapan Allah swt di dalam surah al Maaidah, ayat 49 :

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

maksudnya :

"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu."

3. Hudud adalah ketetapan syara' yang tidak boleh dipinda atau diubahsuai apalagi dibuang atau diketepikan. Tiada siapa yang memiliki authoriti untuk meminda ketetapan Allah swt hatta Rasul saw sekalipun. Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 229.

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

maksudnya :

"demikianlah batasan hukum Allah swt maka janganlah kamu melampauinya dan barangsiapa melanggar sempadan hukum Allah swt maka mereka adalah orang - orang yg zalim"

4. Hudud adalah hukum yang berteraskan kepada prinsip keadilan dan hikmah yang sangat besar buat kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum Allah ini seperti mengatakan hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif, ketinggalan zaman, tidak sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan sebagainya  adalah perbuatan yang boleh menggugurkan iman seseorang justeru ia telah memperkecil dan mendustakan Allah swt. Allah tegaskan akibat perbuatan mereka di dalam surah an Nisa' ayat 56.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Insafi juga penegasan Allah swt di dalam surah al A'araf ayat 40 - 41.

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah dan ketetapan) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga lah unta masuk di dalam lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan jenayah."

5. Hudud memberi keadilan dan mengembalikan kehidupan yang sejahtera dan aman. Tidak perlu takut dan cuak kepada hukum Hudud ini kecuali satu golongan sahaja iaitu penjenayah justeru hukum Hudud adalah hukum yang dijatuhkan keatas penjenayah yang telah sabit kes. Non muslim juga tidak perlu takut dan bimbang terhadap hukum Hudud. Mereka tidak dipaksa untuk menerima hukum Hudud jika mereka tidak mahu berhukum dengan hukuman Hudud bahkan mereka kekal di bawah perlaksanaan hukum sedia ada. Firman Allah swt. di dalam surah al Maaidah ayat 42 :

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Wajib Melaksanakan Hukum Hudud

6.  Para alim ulama' telah memudahkan kita dengan menggariskan kategori ilmu dan syariat Islam seperti Ibadah, Muamalat, Munakahat dan Jinayat. Hudud adalah sebahagian dari undang - undang Jenayah Islam. [ Bahagian yang lain ialah Qisas dan Ta'zir. Insyaallah bahagian Qisas dan Ta'zir akan saya jelaskan di lain kesempatan.] Lantaran itu ia adalah sebahagian dari kesempurnaan Islam yang selayaknya dipelajari, difahami, dilaksana dan dihayati. 

7. Inilah keistemewaan Islam sebagai agama yang syumul dan lengkap, merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah soal perundangan. Ianya wajib dilaksana sebagaimana kita wajib menunaikan solat, puasa dan ibadah yang lain. Firman Allah dari surah an Nisa' ayat 105 menjelaskan kewajipan ini .

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا

"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat"

8. Kewajipan melaksanakan hukum Hudud ini adalah berpaksi kepada prinsip perundangan Islam untuk memelihara :

a] Agama : melalui undang - undang murtad
b] Nyawa : melalui undang - undang qisas
c] Aqal : melalui undang - undang arak dan minuman yang memabukan
d] Keturunan : melalui undang - undang zina
e] Harta benda : melalui undang - undang curi dan rompak.


9. Hari ini ummat Islam berhadapan dengan peningkatan serius indeks kadar jenayah. Bermula dengan jenayah riddah [murtad], jenayah bunuh, jenayah zina, jenayah rompak samun dan sebagainya. Tiada siapa yang dapat nafikan betapa graf kadar semua jenis jenayah ini semakin meningkat dari masa ke semasa dan ia gagal ditangani oleh undang - undang yang dicipta oleh manusia. Persoalannya, kenapa tidak, kita melaksanakan undang - undang Islam yang diwahyukan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia ? sedang pastinya undang- undang Allah swt lebih berkesan untuk menyelesaikan masaalah manusia sebagai makhluk yang diciptaNya.

10. Ummat Islam  dan pemimpinnya mesti mencari 1000 jalan untuk membolehkan syariat Islam ini didaulatkan di atas negara kita yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Bukan mencari 1000 alasan atau dalih untuk mengelak diri dari melaksanakan perintah Allah swt. Jika British Law boleh dilaksanakan sekian lama dalam negara kita sedang hampir tiada penduduk tetap negara kita berbangsa British, kenapa masih ada sebahagian dari kita yang begitu prejudis  terhadap perlaksanaan hukum Islam [hudud]  sementara majoriti penduduk negara kita ialah mislim. Hayati Firman Allah swt dari surah at Taubah ayat 63 :


أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّهُ مَن يُحَادِدِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَأَنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدًا فِيهَا ذَٰلِكَ الْخِزْيُ الْعَظِيمُ

"Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar"

Hukum Hudud di dalam Al Quran dan As Sunnah

11. Sebelum saya belayar jauh untuk menjawab pelbagai persoalan yang timbul di benak pemikiran masyarakat mengenai hukum hudud, eloklah sementara saya masih di dermaga perbincangan terlebih dahulu saya paparkan bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah didraf, digazet dan dilaksanakan lebih 1400 tahun yang lalu melalui dokumen induknya Al Quranul Kareem dan As Sunnah an Nabawiyah.

12. Hukuman Hudud adalah suatu hukum yang tertakluk dengan 6 atau 7 jenis kesalahan dan jenayah. [ saya ringkaskan dari Kitab Mugni al Muhtaj karya Alimul Allamah Syeikh al Khatib asy Syarbaini rhm. dan Kitab Perlaksanaan Hukuman Hudud karya Sohibus Samahah Tuan Hj Said bin Hj Ibrahim mantan Mufti Negeri Sabah rhm. ]
a] Zina : iaitu persetubuhan tanpa nikah yang sah menurut syariat Islam dan hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak 100 kali. Draf undang - undang mengenainya telah termaktub di dalam surah an Nuur ayat 2 :

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."

b] Qazaf : Tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dalam masa yang sama gagal membawa 4 orang saksi lelaki yang adil. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak  80 kali sebatan. Firman Allah swt di dalam surah an Nuur ayat 4 :

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik"

c] Syarbul Khamr : Minum arak atau minuman yang memabukkan. Samada ianya dalam jumlah yang sedikit ataupun banyak demikian juga mabuk ataupun tidak. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat tidak lebih  dari 80 kali dan tidak kurang dari 40 kali. Hukuman ini berasaskan dalil dari hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah :

جلد رسول الله صلى الله عليه و سلم أربعين و أبو بكرٍ أربعين و عمرُ ثمانبن و كلٌّ سنَّةٌ و هذا أحبُّ  إليَّ

رواه مسلم
maksudnya :

"Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan Saidina Abu Bakar rha telah menyebat sebanyak 40 kali sebatan dan Saidina Umar al Khattab rha telah menyebat sebanyak 80 kali sebatan. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw dan inilah yang lebih aku sukai."

d] Mencuri : Mengambil atau memindah secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat menghilangkan harta tersebut dari jagaan tuannya. Hukumannya apabila sabit kes ialah potong tangan pencuri tersebut. Nasnya di dalam surah al Maaidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) sistem cegah dan kawah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

e] Murtad : Keluar dari agama Islam atau membatalkan aqidahnya dengan perbuatan, perkataan atau iktiqad [keyakinan]. Hukumannya apabila sabit kes dan ia enggan kembali kepada Islam dalam tempoh yang ditetapkan oleh syara' adalah bunuh. Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas rha.

                                                    من بدل دينه فاقتلوه.   

رواه البخاري

"Sesiapa yang menukar / meninggalkan agamanya maka bunuhlah ia."

f] Hirabah : Merompak samada secara individu atau secara berkumpulan dengan senjata untuk tujuan merampas harta atau membunuh atau menakut - nakutkan atau mengugut dengan kekerasan. Hukumannya apabila sabit kes adalah seperti berikut :

€ : Hukuman mati : apabila perompak membunuh orang yang dirompak tanpa mengambil harta orang yang dirompaknya.

€ : Hukaman mati di kayu palang apabila perompak telah membunuh dan mengambil harta orang dirompaknya.

€ : Hukuman potong tangan kanan dan kaki kiri apabila perompak hanya mengambil harta orang yang dirompak tanpa membunuh dan mencederakan orang yang dirompaknya.

€: Hukuman buang negeri apabila perompak hanya menakut - nakut orang sahaja seumpama di kawasan laluan awam.

Bentuk hukuman ini telah dimuktamadkan oleh Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 33 - 34 :

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

"Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar."

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

"Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

g] Bughah : segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada pemerintah [ imam / ulil amri ] yang adil dan menjalankan hukum syariat Islam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al Quran dan Sunnah. Mereka tidak dianggap keluar dari ajaran Islam [ murtad ] tetapi mereka diperangi dengan kaedah  dan syarat tertentu. Firman Allah swt di dalam surah al Hujurat ayat 9 :

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Nota : Sebahagian ulama' tidak memasukkan hukum Bughah di dalam kategori hukuman Hudud kerana mempunyai perbahasan dan pendekatan hukum yang tersendiri serta tidak ditetapkan secara terperinci di dalam al Quran bentuk dan jumlah hukuman yang dikenakan ke atas bughah.

13. Ringkasan 6 jenis jenayah hukuman Hudud tambah satu dari jenayah bughah yang telah saya paparkan di atas adalah bersifat umum untuk memudahkan pembaca memahami terlebih dahulu skop jenayah yang disabitkan dibawah hukuman Hudud initanpa saya menafikan masih banyak ulasan tambahan, perbahasan dan khilaf berkait dengan kaedah penghukuman dan sebagainya.

14. Sebagai peringatan awal kepada pembaca, saya hanya membawa bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah dijelaskan oleh al Quran dan Sunnah. Di sana masih terdapat perbahasan penting oleh para alim ulama' bersumberkan dari nas tersebut yang perlu diketahui oleh kita iaitu bagaimana proses menyabitkan kes seperti pembuktian, pembicaraan, syarat sabit kes dan seumpamanya. Begitu juga kaedah perlaksanaan hukuman apabila ia telah disabitkan. Pendek kata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami mengenai hukum Hudud ini.

Benarkah hukuman Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana masih ramai ummat Islam yang tidak memahami hukuman tersebut ?

15.  Saya juga sarankan kepada semua pembaca bagi mendalami soal hukum Hudud ini dengan mengambil langkah pro aktif mempelajarinya secara langsung justeru ia adalah sebahagian dari ilmu Islam wajib dipelajari oleh ummat Islam. Zaman moden ini terlalu banyak kaedah dan kemudahan untuk mempelajari ilmu Islam ini. Terpulang kepada kesungguhan kita.

16. Masjid dan surau juga boleh mengambil langkah yang sama untuk membuka kelas pengajian berkait Perlaksanaan Hukuman Hudud secara bersiri menggantikan kuliah maghrib yang kadangkala hanya bersifat tazkirah biasa atau pengajian yang telah berulang kali dipelajari seperti bab bersuci, haid, nifas, solat dan haji tanpa saya menafikan pengajian itu juga penting untuk diulangkaji.

17. Saya tegas menasihati mereka yang tidak mengetahui dan mendalami pengetahuannya mengenai hukum Hudud ini agar tidak membuat ulasan dan kenyataan berasas fikiran sendiri apalagi menafsir hukum Hudud secara bukan - bukan dan jauh tersasar dari konteks hukum Hudud yang sebenar. Kelak ia akan memudaratkan diri kita sendiri apabila berdepan dengan kemurkaan Allah swt ekoran pandangan dan ulasan yang bertentangan dengan kehendakNya.

18. Jahil mengenai hukum Hudud tidak boleh menjadi hujjah bahawa hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan sebagaimana jahil mengenai solat tidak boleh menjadi hujjah solat tidak boleh ditunaikan. Ini kerana hukum Hudud samalah seperti kewajipan Islam yang lain justeru ianya telah dinaskan di dalam al Quran dan Sunnah sementara hukum Hudud juga telah digazet dan dilaksanakan oleh Rasulullah saw sejak hari pertama Baginda saw memerintah bumi Madinah al Munawwarah.

19. Malah perlaksanaan undang - undang negara hari ini yang merupakan fotostat dari undang - undang penjajah telah dilaksanakan dalam negara kita sejak mula negara merdeka tahun 1957 yang lalu, tanpa perlu pun menunggu rakyat memahami undang - undang tersebut. Bahkan mengikut kaedah perundangan, sesuatu undang - undang itu tidak terbatal hanya kerana pesalahnya tidak mengetahui undang - undang tersebut atau dalam erti kata lain, pesalah itu tidak mengetahui bahawa apa yang dilakukan itu adalah suatu kesalahan di sisi undang - undang sekalipun, ia tetap tertakluk kepada undang - undang tersebut.

20. Apatah lagi undang - undang Islam yang telah siap drafnya melalui al Quran dan Sunnah secara muktamad untuk diguna pakai sepanjang zaman, malah telah digazet dan dilaksana sejak mula Islam memerintah di bumi Madinah al Munawwarah lebih 1400 tahun yang lalu. Pula terlalu banyak kitab dan buku yang dikarang oleh para sarjana Islam bagi membantu ummat Islam memahami undang - undang Islam ini di sepanjang zaman. Kalau kita tidak mengetahuinya, maka ia bukan salah undang - undang tersebut tetapi kecuaian kita kerana gagal mempelajari dan memahami undang - undang tersebut.

21. Alasan kononnya ramai ummat Islam tidak memahami hukum Hudud maka ianya tidak sesuai dilaksanakan pada hari ini adalah helah bermadah yang cukup strategik untuk tidak melaksanakan perintah Allah swt. Ajaibnya, ramai ummat Islam tidak memahami undang - undang British yang diamalkan dalam negara kita hari ini, tetapi  sesuai pula dilaksanakan ? seperkara lagi , masih adakah ummat Islam hari ini yang tidak tahu zina itu salah, mencuri itu salah, membunuh orang itu salah, minum arak itu salah ? atau ia adalah bertolak dari kedegilan untuk patuh pada perintah Allah swt ?

Bukan negara kita masyarakatnya majmuk ? melaksanakan hukuman hudud akan menjadikan negara kita huru - hara dan rakyat dalam keadaan ketakutan. Bolehkah hukuman tersebut dilaksanakan dalam dunia moden ini ?

22.  Buat kesekian kalinya ingin saya tegaskan bahawa hukum Hudud ialah hukum Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia dengan segala kemajmukannya. Majmuknya manusia di atas muka bumi ini bukan berlaku secara secara silap mata atau magik sihir, tetapi ia adalah hasil ciptaan Allah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijak. Sehingga hari ini, tiada siapa yang berani menafikan fakta bahawa Allah yang mencipta manusia samada manusia itu berkulit putih atau berkulit hitam. Samada manusia itu berbangsa Arab atau bukan Arab seperti Melayu, Cina dan India. Lihat pengakuan Allah swt yang tidak pernah dinafi oleh sesiapa di dalam surah al Hujurat ayat 13 :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Maksudnya : Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menjadikan kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kamu berbilang - bilang bangsa dan puak supaya saling kenal - mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya."

23. Apabila Allah yang mencipta manusia dan ianya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, maka kenapa kita tidak pula boleh menerima hukum yang juga dicipta oleh Allah swt untuk mendisiplinkan kehidupan manusia [ makhluk yang diciptaNya ] di atas muka bumi. Siapa lagi yang lebih mengetahui tentang selok belok kehidupan manusia secara zahir dan batinnya jika tidak penciptanya sendiri iaitu Allah Jalla wa  A'la. Pertanyaan Allah swt sehingga hari ini, tiada siapa yang mampu menjawabnya, apa lagi menandinginya sebagaimana yang termaktub di dalam surah al Baqarah ayat 138 :

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

"(
Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat"."
24. Analogi yang boleh saya ketengahkan di sini ialah seperti Syarikat Proton yang mencipta dan mengeluarkan kereta berjenama Inspira. Tentunya Syarikat Proton akan mengeluarkan buku manual operasi yang akan disertakan bersama dengan produknya. Pengguna mesti menggunakan Inspira berasaskan buku manual yang telah dikeluarkan oleh syarikat pengeluar justeru syarikat itulah yang lebih mengetahui bagaimana cara dan kaedah menjaga dan mengguna produk mereka dengan baik dan meminimakan kadar kerosakkan. Pengguna Inspira tidak boleh menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat Mitsubishi untuk produk mereka yang berjenama Pajero 4x4.

25. Begitulah manusia yang merupakan produk ciptaan Allah swt. Allah swt telah mengeluarkan buku manual iaitu al Quranul Kareem  yang disertakan dengan hasil produknya demi memastikan kehidupan manusia di dunia ini terurus berdasarkan manhaj Rabbani atau dengan bahasa yang lebih mudah agar cara dan gaya hidup manusia dipandu oleh petunjuk Allah swt lalu menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa godaan nafsu dan bisikan syaithan yang dilaknat oleh Allah swt.

26. Setelah kita yakin bahawa hukum Hudud ini dari Allah swt., bagaimana masih tersangkar prasangka bahawa hukum ini akan mencetuskan huru - hara ? berlaku huru - hara bukan kerana perlaksanaan hukum Allah swt ini, tetapi kerana manusia menolak hukum tersebut. Mudah difahami apabila kita melihat realiti masyarakat kita hari ini. Huru - hara yang dimaksudkan telah pun berlaku sedang hukum Allah belum dilaksanakan dalam negara kita .

27. Ayah rogol anak, cucu perkosa nenek, anak menengking ibu yang sedang solat,   gengster [ along ] berleluasa, jenayah bunuh berlaku setiap hari, penderaan terhadap kanak - kanak, buang bayi, isteri derhaka kepada suami, suami menyeksa isteri, pemimpin menzalimi rakyat, yang kaya menindas yang miskin, yang lemah tidak terbela, pergaulan bebas, pelacuran, pengedaran dadah dan 1001 mungkar bersarang dalam negara kita. Bukankah ini huru - hara yang berlaku tanpa kawal. Kenapa salahkan hukum Hudud sedang hukum itu belum dilaksanakan lagi ?

28. Orang beriman tentunya yakin bahawa hukum Allah inilah yang akan mengembalikan semula keamanan dan keadilan. Justeru hukum Allah swt tidak semata - mata berorientasikan hukuman semata - mata tetapi juga merupakan sistem cegah dan kawal dari Allah swt. Perkara ini telah diserlahkan melalui firman Allah swt  di dalam surah al Maaidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu sistem cegah kawal dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

29. Tiada siapa yang perlu takut dan bimbang kepada hukum Hudud kecuali penjenayah. Hukum Hudud adalah undang - undang Jenayah syariat Islam. Hukuman ini hanya akan dijatuhkan ke atas penjenayah setelah sabit kes. Justeru itu, tiada siapa yang perlu rasa takut terhadap hukuman Hudud kerana hukuman tersebut sekali - kali tidak akan dijatuhkan ke atas mereka yang tidak bersalah atau dalam erti kata lain, tidak melakukan perbuatan jenayah seperti bunuh, mencuri, zina, menuduh orang lain yang baik berzina tanpa saksi, merompak dan minum arak. "Berani kerana benar dan takut kerana salah" adalah bidalan para bijak pandai yang masih terpakai hingga ke hari ini.

30. Non muslim juga tidak perlu takut terhadap perlaksanaan hukum Hudud justeru Hudud adalah hukum yang wajib terpakai ke atas ummat Islam sahaja sementara non muslim diberi peluang memilih. Jika mereka bersedia dengan rela mahu menerima pakai hukum Allah , maka dibenarkan sementara mereka enggan maka dipulangkan mereka kepada hukum agama mereka jika agama mereka menyediakan bentuk hukuman tertentu di atas kesalahan yang dilakukan atau jika tiada, berlandaskan konteks negara kita, kembali kepada undang - undang konvensional yang ada pada hari ini. Keputusan memberi hak memilih kepada non muslim ini adalah dari ketetapan Allah swt yang tidak boleh persoal oleh manusia. Firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 42 :

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"
Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."
31. Melalui perbahasan ayat ini di dalam kitab Tafseer al Baghawi menjelaskan pandangan para mufassirin seperti an Nakhaei, asy Sya'bi, Atha' dan Qatadah rhm mengatakan bahawa hakim diberi hak memilih samaada pesalah non muslim dari kalangan ahlul zimmah dijatuhkan hukuman melalui hukum Hudud ataupun dirujuk kepada hukum yang disediakan oleh agama mereka.

32. Sementara sebahagian ulama' seperti Mujahid dan Ikrimah rhm menganggap ayat ini telah dinasakhkan dengan ayat و ان حكم بينهم  بما انزل الله  lalu mereka menegaskan bahawa ahlul zimmah tertakluk jua kepada hukum Allah swt ini.

Hudud adalah Adil dan Menyelamatkan

Hukum hudud sangat dibimbangi oleh non muslim kerana perlaksanaannya dianggap kejam serta  ketinggalan zaman. Apakah benar tanggapan tersebut ?
33. Islam adalah agama wahyu yang diutus oleh Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Tuhan yang mencipta manusia, Tuhan yang menjadikan langit dan bumi malah seluruh alam ini. Realiti ini sangat difahami dan diterima oleh non muslim. Firman Allah swt :
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?
Surah Al Ankabut : 61

34. Oleh kerana Islam adalah agama yang datang dari Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijak, maka ia adalah agama yang membawa sinar keadilan buat ummat manusia melalui syariat atau peraturannya serta menyelesaikan masaalah ummat manusia dengan penuh kebijaksanaan yang akhirnya membawa ummat manusia menjadi ummat yang sejahtera, tenang, selamat, aman dan bahagia bersama agama ini. Firman Allah swt :

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
Surah An Nuur : 55

35. Selain janji Allah bahawa syariatnya adalah adil dan membawa kebaikan kepada ummat manusia, semua dari kalangan kita samaada muslim atau non muslim dapat menyaksikan sendiri bagaimana hukum Allah swt ini benar - benar adil melalui kaedah  dan hikmah perlaksanaannya. Namun ianya mestilah dilihat dan diteliti dengan jujur tanpa sebarang sceptical terhadap hukum Allah swt [ hudud] Tuhan yang Maha Mencipta ini.

36. Hudud adalah suatu hukum yang mengandungi 2 elemen utama iaitu balasan setimpal ke atas penjenayah dan sistem tegah kawal dari Allah swt. Ertinya hukum hudud adalah hukum yang hanya dijatuhkan atau dikenakan ke atas penjenayah yang telah sabit kes agar segala perbuatannya dibalas setimpal dan menimbulkan kesedaran atau keinsafan pada dirinya agar tidak lagi mengulangi perbuatan jenayah tersebut dan ia juga menjadi sistem yang menegah pihak lain dari melakukan jenayah sepertinya.

37. Perlaksanaan hukum hudud ini tidak perlu ditakuti atau dibimbangi lagi jika inilah prinsip dan kaedah perlaksanaannya. Bahkan semua pihak samaada muslim atau non muslim akan mendapat faedah yang baik dan positif dari perlaksanaannya. Antara yang boleh saya nyatakan sebagai contoh positifnya kesan perlaksanaan hukum hudud  ialah :

a)      Hudud tidak menjejaskan FDI negara kerana apa saja bentuk sistem perundangan di mana-mana Negara, sekiranya undang-undang yg dilaksanakan itu memelihara hak, mencegah penganiayaan dan menghindar jenayah, maka pelabur akan lebih yakin justeru negara tersebut terhindar dari korupsi dan penindasan. [Hudud merupakan suatu undang-undang pencegahan dan mendidik.]


b)      Hudud tidak akan menjejaskan pelancongan sekiranya pelancong datang  bercuti untuk mencari ketenangan, melawat untuk menikmati keindahan alam  serta sopan santun penduduknya dan shopping untuk mendapatkan barang keperluan mereka dengan harga yang berpatutan. Kecuali pelancong itu datang untuk melakukan maksiat dan mungkar yang boleh merosakkan dirinya dan menularkan budaya keji itu dalam negara kita. Negara kita tidak perlu pelancung maksiat sebagaimana kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Thailand (pusat percutian seks) atau Macau (pusat percutian judi).

c)       Enakmen Hudud membenarkan kemaafan dan menggalakkan reconciliation serta mencari sebab mengapa kesalahan dilakukan seperti dalam kes qisas umpamanya, saudara yang kena bunuh boleh memaafkan pembunuhnya.  Pencuri yang mencuri kerana sebab darurat seperti lapar yang amat, maka ia tidak akan dipotong tangan. Sebaliknya menurut ajaran Islam, kerajaan mesti menyalurkan wang zakat kepadanya atau menyediakan peluang  pekerjaan kepadanya.

d)      Perlaksanaan hukuman hudud memerlukan penelitian dan saksi yang cukup dan ia dilaksanakan dengan berhati hati dengan berpaksi kepada prinsip keadilan dan ketelusan.

e)     Hudud juga adalah undang - undang yang sangat berpotensi mencegah jenayah dan mungkar. Malah ia menyelamatkan masyarakat dari terjebak dalah pengaruh jenayah dan budaya mungkar yang merosakkan tamadun atau peradaban manusia itu sendiri. Dalam erti kata lain, hudud mampu melahirkan negara yang aman, masyarakat yang sejahtera dan keluarga yang bahagia kerana mereka bebas dari ancaman jenayah, mungkar dan maksiat. Bahkan non muslim turut menikmati suasana ini.
Bayangkan apabila tiada lagi mabuk - mabuk, kesempitan wang akibat kalah judi dan jenayah seksual, maka rakyat akan selamat dan terasa aman serta bahagia. Justeru sebahagian besar jenayah yang berlaku hari ini adalah akibat mabuk, kalah judi dan kegagalan mengawal syahwat. Dari sinilah berlakunya rompak, samun, culik, rogol, bunuh dan sebagainya.


Oleh: Nasrudin Hassan

Saturday, May 10, 2014

Waktu-waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa

Pada dasarnya semua masa adalah baik untuk melakukan ibadat kerana dalam Islam tidak ada waktu yang buruk atau waktu sial bagi mengerjakan atau memulakan sesuatu pekerjaan, yang ada dalam Islam ialah masa yang lebih baik untuk beribadat. Demikian juga ada masa-masa yang lebih baik dari masa-masa yang lain untuk berdoa di antara masa tersebut ialah :

a. Waktu Malam
Waktu malam adalah waktu yang paling baik untuk beribadat kerana waktu tersebut sunyi sama sekali. Semua makhluk tidur setelah penat bekerja keras di siang hari. Bagi mereka yang insaf dan sedar, mereka tidak melepaskan peluang di waktu malam dengan beribadat dan berdoa.
Allah s.w.t memperkenankan doa hambanya pada waktu malam dan para malaikat turun ke dunia untuk menyampaikan rahmat Allah s.w.t kepada semua makhluk pada waktu malam. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w kita di Israk dan Mikraj pada waktu malam, oleh itu memang selayaknya kita gunakan waktu malam untuk berzikir dan berdoa kepada Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya di waktu malam ada satu masa yang apabila seorang muslim meminta kebaikan kepada Allah tepat pada waktu itu, nescaya Allah memberinya". ( tafsir Yasin, Hammamy)

Waktu-waktu yang paling baik untuk berdoa pada malam hari ada empat waktu iaitu :
1.Waktu tengah malam, iaitu apabila sudah lebih separuh malam (mulai pukul 1.00 malam).
2.Waktu bahagian kedua daripada sepertiga akhir malam.
3.Waktu sepertiga daripada sepertiga akhir malam.
4.Waktu sahur iaitu sedikit masa sebelum terbit fajar.
Jelas di sini waktu separuh malam sehingga terbit fajar adalah merupakan waktu yang berkat, waktu yang baik untuk memajukan permohonan.

b. Waktu pagi - dikala matahari sedang naik (waktu dhuha)

c. Waktu petang - selepas sembahyang Asar

d. Pada hari Jumaat
Hari yang paling baik diantara hari-hari dalam seminggu ialah hari Jumaat. Ia merupakan saat-saat dikabulkan doa. Abu Huraurah meriwayatkan apabila Rasulullah s.a.w menceritakan tentang keutamaan hari Jumaat beliau bersabda : " Pada hari itu ada suatu saat, tiada seorang muslim yang sedang sembahyang bertepatan dengan saat itu, kemudian memohon kepada Allah melainkan dapat dipastikan Allah dapat memberinya".
Imam Muslim meriwayatkan dari hadith Abu Burdah bin Musa Al-Asy'ari bahawa saat yang paling mustajab pada hari Jumaat ialah saat diantara duduknya imam di atas mimbar hingga selesai sembahyang Jumaat".

e. Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan rahmat dan kemuliaan dari awal Ramadhan hingga ke akhirnya. Sabda Allah s.w.t yang bemaksud, " Apabila tiba bulan Ramadhan, maka terbukalah pintu-pintu langit". ( riwayat, Mutafaq Alaih)
Pintu langit terbuka maksudnya Allah s.w.t mencurah-curahkan rahmat kepada hamba-hambanya yang memohon, berdoa dan beribadat kepadanya.
Diantara kemustajaban bulan Ramadhan terdapat satu saat yang paling mustajab iaitu di saat turunya Al-Qadr. Allah akan memakbulkan setiap permohonan hambanya di saat tersebut dan barang siapa beribadat pada malam Lailatul Qadar sama seperti beribadat seribu bulan.

f. Malam Nisfu Sya'aban
Iaitu pada malam 15 hari bulan Syaaban di mana pada malam tersebut Allah s.w.t menukar buku catatan amalan setiap hari dari yang lama kepada yang baru, sudah selayaknyalah digunakan malam tersebut untuk berdoa dan memohon ampun dari Allah s.w.t.

g. Malam Dua Hari Raya
Iaitu malam hari raya Aidil Fitri dan raya Aidil Adha.
Pada malam tersebut selain memperbanyakkan takbir digalakkan juga berdoa.

h. Bulan Rejab
Iaitu malam pertama bulan Rejab di mana malam tersebut sangat mustajab untuk berdoa. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Ada lima malam yang tidak ditolak permintaan (doa) iaitu : malam pertama daripada bulan Rejab, malam Nisfu Sya'aban, malam Jumaat dan dua hari raya".

i. Ketika Sembahyang dan Selepasnya
Dalam sembahyang banyak lafaz doa, oleh itu perelokkan sembahyang, mudah-mudahan Allah memakbulkan permintaan dan permohonan ketika dalam sembahyang.

j. Selepas Membaca Al-Quran terutama selepas khatam Al-Quran

k. Majlis Zikir atau Tahlil, selepas berzikir digalakkan berdoa kerana masa tersebut penuh dengan rahmat Allah

l. Selepas mengangkat air sembahyang

m. Selepas azan sembahyang

n. Selepas Iqamah
Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Hakim bermaksud "Tidak ditolak doa di antara azan dan iqamah". para sahabat bertanya " Apakah yang harus kami baca ya Rasulullah s.a.w? Rasulullah s.a.w menjawab " Mintalah kepada Allah s.w.t kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat". 

sumber: koleksi sunnah Nabi Muhammad saw

Tuesday, May 6, 2014

Kedudukan Wanita Menurut Al-Quran dan Bible

Apa kata Bible tentang wanita?


“Wanita harus belajar dengan berdiam diri dan dengan rendah hati. Aku tidak membenarkan

wanita mengajar atau memerintah lelaki; wanita mesti berdiam diri. Hal ini demikian kerana Adam dicipta dahulu, kemudian barulah Hawa. Lagi pula bukan Adam yang ditipu, tetapi wanita yang tertipu, sehingga melanggar perintah Allah.” (1 Timothy 2: 11-14)

“Kaum wanita haruslah berdiam diri di dalam gereja. Mereka tidak dibenarkan berkata-kata; mereka harus patuh kerana demikianlah ajaran Taurat. Jika mereka hendak mengetahui sesuatu, mereka harus bertanya kepada suami mereka di rumah. Amatlah memalukan jika seseorang wanita berkata-kata di perjumpaan jemaah.” (1 Korintus 14:34-35)

“Jika seorang wanita tidak menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, dia memalukan suaminya. Wanita itu seperti wanita yang kepalanya dicukur. Jika seorang wanita tidak mahu menudung kepalanya, lebih baik dia menggunting rambut. Tetapi sangat memalukan jika seorang wanita dicukur kepalanya atau digunting rambutnya. Oleh itu lebih baik dia menudung kepalanya. Seorang lelaki tidak perlu menudung kepala kerana dia mencerminkan rupa dan kemuliaan Allah. Tetapi wanita mencerminkan kemuliaan lelaki, kerana lelaki tidak dijadikan daripada wanita, melainkan wanita dijadikan daripada lelaki. Begitu juga lelaki tidak dijadikan untuk kepentingan wanita, tetapi wanita dijadikan untuk kepentingan lelaki. Oleh itu, kerana malaikat-malaikat, seorang wanita harus menudung kepala sebagai tanda bahawa dia di bawah kekuasaan suaminya.” (1 Korintus 11:5-10)

“Baiklah kamu pertimbangkan sendiri: patutkah seorang wanita berdoa kepada Tuhan di hadapan orang ramai dengan tidak menudung kepala?” (1 Korintus 11:13)

“Manusia itu menjawab: “Perempuan yang Kau tempatkan di sisiku, dialah yang memberi dari buah pohon itu kepadaku, maka ku makan”. Maka berfirmanlah TUHAN kepada perempuan itu: “Apakah yang telah kau perbuat ini?”. Jawab perempuan itu: “Ular itu yang memperdayakan aku, maka ku makan”. Lalu berfirmanlah TUHAN kepada ular itu: “Kerana engkau berbuat demikian, terkutuklah engkau di antara segala ternak dan di antara segala binatang hutan; dengan perut mu lah engkau akan menjalar dan debu tanahlah akan kau makan seumur hidupmu. Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dan perempuan ini, antara keturunanamu dan keturunannya; keturunannya akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan meremukkan tumitnya”. FirmanNya kepada perempuan itu: “Susah payahmu waktu mengandung akan Ku buat sangat banyak; dengan kesakitan engkau akan melahirkan anakmu; namun engkau akan berahi kepada suamimu dan dia akan berkuasa atasmu”.” (Kejadian 3:12-16)

“Katakanlah kepada orang Israel: Apabila seorang perempuan bersalin dan melahirkan anak lelaki, maka najislah dia selama TUJUH HARI. Sama seperti pada hari-hari dia bercemar kain dia najis. Dan pada hari yang kelapan haruslah dikerat daging kulit khatan anak itu. Selanjutnya TIGA PULUH TIGA HARI lamanya perempuan itu harus tinggal menantikan pentahiran dari darah nifas, tidak boleh dia kena kepada sesuatu apa pun yang kudus dan tidak boleh dia masuk ke tempat kudus, sampai sudah genab hari-hari pentahirannya. Tetapi jikalau dia melahirkan anak perempuan, maka najislah dia selama DUA MINGGU, sama seperti pada waktu dia bercemar kain, selanjutnya ENAM PULUH ENAM HARI lamanya dia harus tinggal menantikan pentahiran dari darah nifas.” (Imamat 12:2-5)

“Dan aku menemukan sesuatu yang lebih pahit daripada maut: perempuan yang adalah jala, yang hatinya adalah jerat dan tangannya adalah belenggu. Orang yang dikenan Allah terhindar daripadanya, tetapi orang yang berdosa ditangkapnya. Lihatlah, ini yang kudapati, kata Pengkhutbah: Sementara menyatukan yang satu dengan yang lain untuk mendapat kesimpulan, yang masih kucari tetapi tidak kudapati, kudapati seorang lelaki yang lurus di antara seribu, tatapi tidak kudapati seorang perempuan yang lurus di antara mereka.” (Pengkhutbah 7:26-28)

“Apabila seorang perempuan mengeluarkan lelehan, dan lelehannya itu adalah darah dari auratnya, dia harus tujuh hari lamanya dalam cemar kainnya, dan setiap orang yang kena kepadanya menjadi najis sampai matahari terbenam. Segala sesuatu yang ditidurinya selama dia cemar kain menjadi najis. Dan segala sesuatu yang didudukinya menjadi najis juga. Setiap orang yang kena kepada tempat tidur perempuan itu haruslah mencuci pakaiannya, membasuh tubuhnya dengan air dan dia menjadi najis sampai matahari terbenam. Setiap orang yang kena kepada sesuatu barang yang diduduki perempuan itu haruslah mencuci pakaiannya, membasuh diri dengan air dan dia menjadi najis sampai matahari terbenam. Juga pada waktu dia kena kepada sesuatu yang ada di tempat tidur atau di atas barang yang diduduki perempuan itu, dia menjadi najis sampai matahari terbenam. Jikalau seorang lelaki tidur dengan perempuan itu, dan dia kena cemar kain perempuan itu, maka dia menjadi najis selama tujuh hari, dan setiap tempat tidur yang ditidurinya menjadi najis juga. Apabila seorang perempuan berhari-hari lamanya mengeluarkan lelehan, yakni lelahan darah yang bukan pada waktu cemar kainnya, atau apabila dia mengeluarkan lelehan lebih lama dari waktu cemar kainnya, maka selama lelahannya yang najis itu perempuan itu adalah seperti pada hari-hari cemar kainnya, yakni dia najis. Setiap tempat tidur yang ditidurinya, selama dia mengeluarkan lelahan , haruslah baginya seperti tempat tidur pada waktu cemar kainnya dan setiap barang yang didudukinya menjadi najis sama seperti kenajisan cemar kainnya. Setiap orang yang kena kepada barang-barang itu menjadi najis, dan dia harus mencui pakaiannya, membasuh tubuhnya dengan air, dan dia menjadi najis sampai matahai terbenam. Tetapi jikalau perempuan itu sudah tahir dari lelehannya, dia harus menghitung tujuh hari lagi sesudah itu barulah dia menjadi tahir. Pada hari yang kelapan, dia harus mengambil dua ekor burung tekukur dan dua ekor anak burung merpati dan membawanya kepada imam ke pintu Khemah Pertemuan. Imam harus mempersembahkan yang seekor sebagai korban penghapus dosa dan yang seekor lagi sebagai korban bakaran. Dengan demikian imam mengadakan perdamaian bagi orang itu di hadapan TUHAN, kerana lelehannya yang najis itu.” (Imamat 15:19-30)

Dengan kata lain, Bible mengajar bahawa:

1. Wanita harus mendiamkan diri dan mengenepikan keinginan diri sendiri.
2. Wanita tidak patut mengajar.
3. Wanita tidak mempunyai kuasa ke atas lelaki, sebaliknya harus berdiam diri.
4. Adam dan Hawa tidak sama dalam dosa mereka. Adam tidak tertipu, sebaliknya Hawa tertipu.
5. Wanita diperintahkan mematuhi kaum lelaki. Tuhan menetapkan bahawa lelaki memerintah wanita selamanya.
6. Wanita mesti berdiam diri di dalam Gereja. Adalah memalukan jika mereka bercakap. Jika mereka mempunyai soalan, mereka perlu bertanya kepada suami mereka sebelum pergi ke gereja dan suami mereka akan bertanya bagi pihak mereka di gereja.
7. Wanita tidak boleh sembahyang atau membuat pengakuan dengan kepalanya tidak ditutup.
8. Jika wanita bersembahyang dengan kepalanya tidak ditutup, lebih baiklah dia mencukur kepalanya.
9. Lelaki dicipta daripada rupa dan kemuliaan Tuhan, dan wanita dicipta daripada kemuliaan lelaki, maka lelaki berkuasa ke atas mereka.
10. Wanita yang melahirkan bayi lelaki tidak suci selama seminggu, tetapi wanita yang melahirkan bayi perempuan tidak suci selama DUA minggu. Maka bayi perempuan adalah DUA KALI tidak suci berbanding bayi lelaki.
11. Adalah mungkin untuk menemui seorang lelaki yang lurus dalam seribu lelaki, tetapi adalah mustahil untuk menemui walau seorang wanita yang lurus dalam seribu wanita.
12. Wanita adalah perangkap, hatinya adalah jerat, dan tangannya adalah belenggu. Lelaki yang mematuhi Tuhan akan terlepas daripadanya, tetapi beliau akan memerangkap mereka yang berdosa.
13. Jika seorang wanita yang sedang haid menyentuh kerusi, katil atau apa sahaja, maka apa yang disentuhnya menjadi tidak suci. Sesiapa yang menyentuh barang tersebut juga menjadi tidak suci. Mereka mesti mandi dan membersihkan pakaian mereka kerana telah menyentuh barang yang disentuh oleh seorang wanita yang sedang haid.

Apa yang dikata mengenai orang-orang kudus Kristian mengenai wanita:

“Wanita adalah anak kepalsuan, pengawal neraka, musuh kedamaian; kerananya Adam kehilangan syurga” (St. John Demanscene)

“Wanita adalah alat syaitan yang digunakan untuk mendapatkan roh kita” (St. Cyprian)

“Wanita adalah lengan syaitan, suaranya adalah bisikan ular” (St. Anthony)

“Wanita adalah racun ular, dan memiliki kejahatan naga” (St. Gregory)

Semasa St. Tertulian bercakap dengan “saudara-saudara perempuan seagama yang dikasihinya”, beliau berkata, “Tidakkah kamu tahu bahawa setiap daripada kamu adalah Hawa? Hukuman Tuhan ke atas jantina kamu berterusan sehingga ke hari ini: kesalahan tersebut harus berterusan. Kamu adalah pintu masuk syaitan. Kamu adalah pembuka pohon terlarang. Kamu adalah yang pertama melanggar undang-undang tuhan. Kamulah yang memujuknya yang tidak dapat diserang oleh syaitan. Kamu dengan mudah telah memusnahkan rupa Tuhan, iaitu lelaki,.”. St. Augustine menulis kepada sahabatnya, “Apa bezanya jika dia adalah seorang isteri atau seorang ibu, dia masih Hawa, penggoda yang mesti kita berjaga-jaga terhadapnya.”. Beberapa abad kemudian, St. Thomas Aquinas masih menganggap wanita tidak sempurna,
“Merujuk kepada sifat individu, wanita tidak sempurna, kerana kuasa aktif di dalam benih lelaki berkecenderungan untuk menghasilkan apa yang mirip kepada jantina lelaki yang sempurna; manakala wanita dihasilkan daripada kecacatan dalam kuasa aktif atau daripada bahan yang kurang sihat, atau daripada pengaruh luar.” (Semua petikan-petikan ini diperolehi daripada buku Karen Armstrong bertajuk “The Gospel According to Woman”, London: Elm Tree Books, 1986, m.s. 52-62. Juga lihat buku oleh Nancy van Vuuren, “The Subversion of Women as Practiced by Churches, Witch-Hunters and Other Sexists Philadelphis”, Westminster Press, m.s. 28-30).

Lelaki Yahudi Ortodoks memulakan sembahyang pagi mereka dengan membaca, “Dirahmati Tuhan, Raja semesta Alam, kerana Dia tidak menjadikan aku wanita”. Wanita pula bersyukur kepada Tuhan setiap pagi kerana, “menjadikanku menurut kehendakMu” (Thena Kendath, “Memories of an Orthodox Youth”, dalam Susannah Heschel, penyunting. “On Being a Jewish Feminist”, New York: Schocken Books, 1983, m.s. 96-97).

Menurut Talmud Yahudi, “wanita dikecualikan daripada mempelajari Taurat”. Pada abad pertama Masihi, Rabai Eliezer berkata, “Jika seorang lelaki mengajar anak perempuannya Taurat, seolah-olah beliau mengajarnya kegasangan.” (Leonard J. Swidler, “Women in Judaism: The Status of Women in Formative Judaism”, Metuchen, N.J: Scarecrow Press, 1976, m.s. 83-93).

Menurut Rabai Dr. Menachem M. Brayer (Profesor dalam Kesusasteraan Biblikal di Yeshiva University) di dalam bukunya “The Jewish Woman in Rabbinic Literature”, adalah menjadi kebiasaan wanita Yahudi keluar ke tempat awam dengan kepalanya ditudung, malah kadang kala seluruh wajahnya juga ditutup dan hanya satu mata kelihatan (“Psychosocial Perspective”, Hoboken, N.J: Ktav Publishing House, 1986, m.s. 239). Beliau memetik Rabai-rabai purba yang masyhur berkata, “Tidak layak wanita-wanita Israel keluar tanpa kepalanya ditudung”, dan, “Terkutuklah lelaki yang membiarkan rambut isterinya dilihat… wanita yang mendedahkan rambutnya sebagai perhiasan membawa kepapaan”. Undang-undang Rabai melarang doa dibaca jika terdapat wanita yang telah berkahwin yang tidak menutup kepalanya kerana rambut yang terdedah dianggap “bogel” (Ibid, m.s. 316-317. Juga lihat Swidler, op. Cit. M.s. 121-123). Dr. Brayer juga menyebut bahawa, “Semasa zaman Tannaitik, wanita Yahudi yang tidak menudung kepalanya dianggap menghina kesuciannya. Jika kepalanya tidak ditudung, dia boleh didenda empat ratus zuzim atas kesalahan ini.”. Dr. Brayer juga menjelaskan bahawa tudung wanita Yahudi tidak hanya dianggap sebagai lambang kesopanan. Kadang-kala ia melambangkan maruah dan martabat wanita bangsawan. Ia juga lambang seorang wanita tidak boleh disentuh kerana beliau adalah milik suci suaminya (24. Ibid, m.s. 139). Jelas bahawa di dalam Perjanjian Lama, mendedahkan kepala wanita adalah hal yang amat memalukan dan inilah sebabnya seorang paderi perlu membuka tudung seorang wanita yang disyaki berzina dalam perbicaraannya (Bilangan 5:16-18).

St. Tertullian di dalam karyanya yang terkenal, “On the Veiling of Virgins” menulis, “Wanita-wanita muda, pakailah tudungmu semasa di jalanan, kamu juga perlu memakainya di gereja, kamu juga perlu memakainya semasa berada di kalangan orang-orang yang tidak dikenali, dan pakailah ia semasa bersama saudara-saudara lelakimu…”. Di antara undang-undang Kanon gereja Katolik hari ini, terdapat peraturan yang memerlukan wanita menudung kepala mereka di gereja (Clara M. Henning, “Cannon Law and the Battle of the Sexes”, dalam Rosemary R. Ruether, suntingan, “Religion and Sexism: Images of Woman in the Jewish and Christian Traditions”, New York: Simon and Schuster, 1974, m.s. 272).

Beberapa mazhab Kristian, seperti Amish dan Mennonit, menetapkan wanita mereka perlu bertudung sehinggalah ke hari ini. Alasan untuk bertudung yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Gereja adalah, “Menudung kepala adalah lambang penyerahan kepada lelaki dan Tuhan”. Logik yang sama dikemukakan oleh St. Paul di dalam Perjanjian Baru (Donald B, Krabyll, “The Riddle of the Amish Culture”, Baltimore: John Hopkins University Press, 1989, m.s. 56).

Wanita Russia Ortodoks juga dikehendaki menudung kepala semasa di gereja. Kebanyakan mereka tidak melakukannya di Amerika, tetapi wanita-wanita di Russia dan di banyak negara-negara Eropah Timur, seperti Greek dan timur tengah, memakai selendang menutupi kepada mereka apabila berada di tempat awam.

Ini hanyalah sebahagian kecil contoh. Untuk melihat petikan-petikan mengenai hal ini, sila dapatkan buku “Women in Islam versus Women in the Judaeo-Christian Tradition: The Myth and the Reality”, oleh Dr. Sherif Abdel Azeem, World Assembly of Muslim Youth.
Selanjutnya, menurut Perjanjian Lama, seorang balu yang tidak mempunyai anak mesti mengahwini saudara lelaki suaminya, walaupun beliau telah mempunyai anak tanpa mengira sama ada balu tadi bersetuju, untuk menghasilkan zuriat daripadanya (Kejadian 38).

Selanjutnya, menurut Bible:

“Apabila seseorang bertemu dengan seorang gadis yang masih perawan dan belum bertunangan, memaksa gadis itu tidur dengannya, dan keduanya kedapatan, maka haruslah lelaki yang sudah tidur dengan gadis itu memberikan lima puuh syikal perak kepada ayah gadis itu, dan gadis itu haruslah menjadi isterinya sebab lelaki itu telah memperkosanya; selama hidupnya tidak boleh lelaki itu menceraikannya.” Ulangan 22:28-30

Kita perlu bertanyakan satu soalan yang mudah di sini, siapakah yang sebenarnya dihukum: lelaki yang memperkosa gadis tersebut atau gadis yang diperkosa? Siapakah yang dapat menghalang seorang lelaki daripada memperkosa gadis tercantik di bandar, memaklumkan semua orang akan hal tersebut, dan kemudian meminta mahkamah memaksa gadis tersebut menjadi isterinya?

Menurut Bilangan 27:1-11, balu dan saudara perempuan tidak boleh mewarisi harta langsung. Anak perempuan hanya mewarisi harta jika bapa mereka tidak mempunyai anak lelaki.

Apa kata AlQuran pula tentang wanita?

Maka apa pula ketetapan AlQuran mengenai wanita? Memang wanita diperintahkan oleh Allah supaya menutup kepala mereka dan berpakaian sopan, tetapi di dalam Islam ini bukanlah lambang merendahkan diri atau menyerah kepada lelaki, sebaliknya ia adalah lambang kesucian, kesopanan dan ketakwaan kepada Allah.

Ini juga adalah sebagai tanda kepada semua lelaki yang berurusan dengannya supaya menghormatinya. Bandingkan keadaan ini dengan keadaan di Barat apabila seseorang bertemu dengan rahib atau paderi, bagaimana pakaian rahib dan paderi tersebut adalah tanda kepada mereka yang menemuinya untuk tidak berkelakuan atau bercakap yang tidak sopan.

Apabila wanita menjaga dan menutup aurat dengan baik, bermakna wanita itu mahal, bukan barang murah untuk dibuat pameran merata-rata. Suatu yang mahal itu mesti dijaga dengan rapi dan elok. Dan yang paling penting, ianya untuk mengelakkan dari menggoda dan merangsang nafsu seks para lelaki, agar maksiat dan jenayah rogol dan seumpamanya dapat dielakkan.

“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu, dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab (33) : Ayat 59 (juga lihat Al-Nur (24):31)

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita, dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan, dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. ” (Surah An-Nur (24) : 31)

Bagaimana pula dengan hak-hak wanita dalam Islam? Adakah benar mereka adalah “warga kelas dua”? Mari kita baca apa kata AlQuran:

“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang baik” (Surah Al-Baqarah (2) : 228)

“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan sebahagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalanKu, yang berpegang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisiNya pahala yang baik.” (Surah Aali-’Imran (3) : 195)

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian lain. (Kerana) bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Nisaa (4) : 32)

” Bagi lelaki ada bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian (pula) daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.” (Surah Al-Nisaa (4) : 7)

“Barang siapa yang mengerjakan amal-amal saleh, baik lelaki mahu pun wanita, sedang dia orang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.” (Surah Al-Nisaa (4) : 124)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberikan rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Taubah (9) : 71)

“Barang siapa yang mengerjakan amal saleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah Al-Nahl (16) : 97)

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Al-Rum (30) : 21)

“Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barang siapa mengerjakan amal yang saleh baik lelaki mahu pun perempuan, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.” (Surah Al-Mukmin (40) : 40)

19 hadith tentang wanita

Berikut adalah petikan 19 hadith tentang wanita dari kitab Tanbihul Ghafilin.

1 - Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”.

2 - Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3 - Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

4 - Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5 - Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6 - Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama
Allah s.w.t.

7 - Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8 - Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9 - Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10 - Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11 - Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12 - Aisyah berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya
terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., “Suaminya”. “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Ibunya”.

13 - Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14 - Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di
langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15 - Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16 - Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17 - Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18 - Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19 - Daripada Aisyah r.a. “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”

Yang membezakan manusia hanyalah ketaqwaan

Walaupun Allah s.w.t mengatakan bahawa lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita, tidak bermakna wanita itu kedudukannya hina di sisi lelaki. Akan tetapi wanita kedudukannya adalah sebagai penasihat, yang mana bukan satu kedudukan yang sembarangan, dan bukan seperti seorang hamba abdi. Dan kaum lelaki tidak boleh menzalimi kaum wanita.

"Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka, sebab itu maka Wanita yang saleh, ialah yang ta'at kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka), wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pukullah mereka, kemudian jika mereka menta'atimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya, sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Surah An-Nisaa' 4 : 34)

Rasulullah S.a.w bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya Allah tidak akan melihat bentuk-bentuk tubuhmu dan harta kamu tetapi akan melihat isi hati kamu dan amal-amalmu”. (Hadith Riwayat Muslim, Shahihul Muslim, tafsir Ibnu Katsir juz 7 hal 322).

Sabdanya lagi yang bermaksud, “Tiada kelebihan seseorang terhadap yang lainnya melainkan dengan taqwa kepada Allah”. (Hadith Riwayat Abu Bakar Albazzar, tafsir Ibnu Katsir juz 7 hal 322).


Hanya Taqwa yang membezakan antara manusia dan tiada manusia yang dapat menentukan tahap KETAQWAAN seseorang melainkan Allah sahaja yang tahu. Ini bermakna kita tidak boleh membeza-bezakan kelebihan yang ada pada seseorang kerana kelebihan yang dipandang oleh Allah hanyalah taqwa dan hanya Dia sahaja yang tahu.

Saturday, June 5, 2010

Mentaliti hari, malam Jumaat

SEBAGAI bekas kakitangan dan pembaca tetap sebuah akhbar harian arus perdana, saya kurang senang dengan tindakan lembaga pengarangnya menyiarkan gambar perempuan seksi pada setiap kali keluaran akhbar itu.

Gambar berkenaan diletakkan pada sisi kiri muka depan, agak saya bagi menarik pembaca membeli akhbar terbabit. Ada kalanya wanita penghias muka depan itu bagaikan tidak cukup kain, maka tersembullah aset yang sepatutnya disembunyikan. Langkah menyiarkan gambar wanita seksi ini bertujuan menaikan jualan akhbar, sekali gus meningkatkan keuntungan, itulah strategi orang yang otaknya fikir fasal bisnes saja.

Disebabkan adanya gambar itu, saya memboikot daripada membeli akhbar berkenaan, yalah bukankah ada hadis yang antara lain bermaksud, seseorang itu perlu menyatakan bantahan (mengubah) perkara maksiat dengan tangan (kuasa), jika tidak dengan lisan (mulut, menulis) dan yang paling rendah menyatakan bantahan dalam hati dan juga larangan bersubahat dalam perkara maksiat.

Namun ada harinya saya terpaksa juga membeli akhbar berkenaan kerana tiada pilihan disebabkan akhbar lain sudah habis. Akhbar-akhbar lain pun dua kali lima, sarat dengan gambar keterlaluan, yang berbahasa Melayu tetap degil menyiarkan keputusan empat nombor ekor manakala sesetengah akhbar berbahasa Inggeris ghairah menyiarkan iklan minuman keras.

Suatu petang Jumaat saya nekad menelefon ketua pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan bantahan. Bukan senang hendak bercakap dengan pengarang berpangkat Datuk ini, selepas mencuba hampir 10 kali, barulah dapat bercakap dengannya. Saya nyatakan rasa kurang senang dengan penggunaan gambar perempuan seksi yang menjadi penghias muka depan hampir setiap hari.

Saya nyatakan juga alangkah janggal menyiarkan gambar seksi itu pada hari Jumaat, ramailah pembaca menatap gambar wanita itu pada pagi hari kemudian pergi sembahyang Jumaat, begitu bertentangan sekali amalan kita, kejap tengok aurat wanita, kemudian sujud pada Illahi, inilah fikiran sekular, berperangai alim-alim kucing ketika berada dalam masjid tetapi di luar…macam serigala lapar.

Saya nyatakan pada pengarang itu, saya malu untuk mengepit akhbar menyiarkan gambar tak senonoh itu. Demikian juga agak saya dengan ustaz, ustazah, pak haji, tok iman dan mufti, tentulah mereka malu untuk membawa akhbar itu ke sana sini, apatah lagi pada hari Jumaat.

Nampaknya pengarang itu bersetuju dan berjanji akan membuat perubahan. Namun pada hari keesokannya (hari Sabtu), ketika ke gerai akhbar, saya perhatian akhbar itu tetap menyiarkan gambar wanita seksi pada muka depan. Saya pun teruskan boikot saya, tidak beli akhbar itu.

Selepas teguran saya itu, penampilan wanita seksi pada muka depan tetap berlaku kecuali pada hari Jumaat. Pada hari Jumaat disiarkan gambar wanita berpakaian sopan malah kadang-kadang bertudung. Antara gambar dipaparkan adalah artis wanita yang hadir di mahkamah syariah. Tentunya mereka berpakaian sopan termasuk mengenakan tudung.

Demikianlah, betapa sebahagian anggota masyarakat kita bermentalitikan untuk membuat baik dan melakukan kebajikan pada malam dan hari Jumaat sedangkan pada hari lain mereka tidak kisah.

Pengarang akhbar pun berfikiran begitu. Pada setiap hari (keluaran) mereka menyiarkan gambar perempuan seksi tetapi pada keluaran hari Jumaat mereka bertukar sikap, menjadi begitu alim; menyiarkan artikel agama yang menyuruh orang membuat kebaikan dan pada ruangan yang biasanya disiarkan gambar wanita mendedahkan aurat keterlaluan digantikan halaman kegiatan harian seperti pertanian. Jika hari-hari sebelumnya kerap disiarkan gambar buah terlarang tetapi pada hari Jumaat disiarkan buah-buah tempatan seperti betik, mangga dan kelapa mawar.

Jika pengarang akhbar bermentaliti begitu, apa kurang dengan anggota masyarakat. Hari dan malam Jumaat, ramai menjadi alim. Di surau dan masjid, pada malam Jumaat, jemaah sibuk membaca Surah Yassin bersekali dengan tahlil. Ramai baca al-Quran (Surah Yassin) pada malam Jumaat saja, pada malam dan siang hari lain mereka tidak peduli. Baca al-Quran pada malam Jumaat, bagus tetapi alangkah elok mereka membaca dan mentelaahnya sepanjang waktu tanpa menunggu malam Jumaat

Bagi sesetengah wanita, mereka mengenakan baju kurung labuh malah ada yang memadankannya dengan tudung atau selendang pada hari Jumaat. Pada hari lain, mereka tidak peduli, mereka berpakaian seksi, tetapi pada hari Jumaat mahu kelihatan alim. Kononnya mereka menghormati hari Jumaat yang mulia. Apa yang bagusnya, ramai juga gadis Cina dan India (bukan Islam) turut berpakaian baju kurung pada hari Jumaat. Malah budak-budak sekolah bukan Islam pun ramai yang pakai baju kurung pada hari Jumaat.

Bagi budak-budak pula, mereka sering diugut oleh ibu bapa supaya jangan buat nakal pada malam Jumaat. Mereka akan berkata: “Hah kau ingat ini malam apa? Ini malam Jumaat, hormatilah sikit hari Jumaat.” Apakah ini bermakna pada malam dan hari lain, boleh buat nakal? Hantu termasuk pontianak pula dikatakan suka keluar pada malam Jumaat!

Di kalangan sesetengah orang Melayu, malam hari Khamis malam Jumaat dianggap waktu paling istimewa bagi pasangan suami isteri. Jadi berlakulah sindir menyindir kepada pasangan suami atau isteri. Kononnya itulah malam paling sesuai buat ibadah membabitkan suami isteri itu. Persoalannya, mengapa mesti malam Jumaat, malam lain tidak bolehkah? Apakah ia bermakna malam Jumaat wajib, malam lain sunat?

Mentaliti malam Jumaat ini, menyebabkan sesetengah orang kreatif, mengambil kesempatan dan peluang. Misalnya sebuah syarikat memperkenalkan minyak wang dan semburan diberi jenama MJ (Malam Jumaat). Ini adalah orang bijak, mengeksploitasi kepercayaan tidak berasas masyarakat bagi menjana pendapatan lumayan.

Seorang penulis blog (roseharissa.blogspot.com) bertanya: “Tak tahulah kenapa lelaki-lelaki Melayu suka sangat mengaitkan malam Jumaat dengan seks. Habis tu, hari Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu, Ahad, tak bolehkah? Jadi tak keterlaluan dikatakan bahawa ia hanya mitos mengenai 'ibadah sunat' dan tak ada masuk dalam bab sunnah pun. Cuma mentaliti orang Melayu sudah diterapkan zaman berzaman mengaitkan malam Jumaat sebagai malam bulan madu. Seks malam Jumaat tu cuma mitos orang Melayu!”

Beliau mendakwa disebabkan ‘menunggu malam Jumaat’ ada hubungan suami isteri semakin lama semakin hambar, sebab terlalu lama menunggu, maklumkan seminggu sekali. “Sepatutnya setiap hari adalah sama dan istimewa untuk suami isteri...tak payah tunggu hari Khamis malam Jumaat!” tulisnya.Roslan Harun, Melaka.

Thursday, June 3, 2010

Bidik dahi

KUALA LUMPUR: “Saya hanya ingat mati dan berserah kepada Allah sebaik saja cahaya laser senjata seorang unit komando tentera laut Israel dihalakan tepat ke dahi saya,” kata Ashwad Ismail, 25, wartawan Astro Awani ketika dihubungi sejurus melepasi sempadan Israel-Jordan, semalam.
Beliau antara 12 rakyat negara ini terselamat dalam serangan komando rejim Zionis pada Ahad lalu terhadap kapal Turki, Marvi Marmara yang membawa misi bantuan kemanusiaan bersama kira-kira 700 anak kapal lain ke Semenanjung Gaza untuk penduduk Palestin.

Ashwad berkata dalam kejadian jam 4.15 pagi waktu Turki itu, dia dimaklumkan serangan tentera Israel membabitkan 19 bot komando, empat kapal perang, tiga helikopter dan tiga kapal selam.

“Ketika itu saya bersama jurukamera saya (Shamsul Kamal Latip, 38) dan beberapa sukarelawan lain berada dalam bilik rehat di tingkat tiga kapal. Kami terdengar tembakan bertubi-tubi dan letupan, menyebabkan masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Ketika itu saya terpisah dengan Shamsul Kamal, tetapi saya masih mengambil gambar kejadian dengan kamera digital milik saya. Saya menuju bahagian belakang kapal dengan harapan bersembunyi, tetapi langkah saya terhenti apabila menyedari pancaran laser merah dihalakan tepat ke dahi saya oleh komando Israel.

“Anggota komando Israel itu merampas semua barang saya hingga tinggal sehelai sepinggang sebelum mengikat tangan saya dan semua tawanan lain dengan tali kabel. Saya diarahkan berkumpul bersama anak kapal lain yang ditahan. Kami diarahkan duduk dalam beberapa kumpulan di lokasi berasingan dalam kapal,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan maklumat mengenai serangan kapal misi keamanan itu bocor kepada umum menyebabkan tentera Israel sanggup merampas apa saja peralatan komunikasi termasuk pen kerana ingin memastikan kekejaman yang berlaku itu tidak dihebahkan ke pengetahuan masyarakat antarabangsa Ashwad berkata, menurut rakan dalam misi itu, antara tembakan terawal Israel terhadap anak kapal Marvi Marmara ditujukan kepada jurukamera stesen televisyen dari Turki yang membuat siaran langsung kejadian terbabit.

“Komando Israel sengaja menembak di bahagian tangan jurukamera itu untuk memastikan kamera videonya terlepas. Selepas itu, komando Israel menggeledah dan merampas segala alat komunikasi termasuk telefon bimbit, komputer riba, buku catatan, kamera dan pen. Tetapi buku catatan saya tidak dirampas sebab ditulis dalam bahasa Melayu...mungkin komando itu tak faham,” katanya.

Katanya, jika dianalisis kembali, siaran berhubung kejadian itu yang disiarkan media pro Zionis diputar belit kononnya aktivis kemanusiaan terlebih dulu melakukan provokasi walaupun realiti sebaliknya.

Menurutnya, tragedi serangan itu membuka mata dunia mengenai halangan hak kemanusiaan terburuk dan kejam bukan saja kepada misi berkenaan, malah penduduk Palestin yang mengalaminya sejak 1948 ketika Israel ditubuhkan.

Ashwad berkata, selepas ditawan kapal terbabit kemudian menuju ke Pelabuhan Ashdod yang mengambil masa kira-kira 15 jam perjalanan dari lokasi serangan Israel di perairan antarabangsa itu.
Katanya, setiba di Pelabuhan Ashdod, proses untuk keluar dari kapal saja memakan masa hampir 12 jam apabila regim Zionis itu melakukan pemeriksaan seorang demi seorang tawanan dengan prosedur terlalu ketat.

“Pakaian kami dipaksa ditanggalkan semuanya ketika pemeriksaan dilakukan, manakala untuk pemeriksaan semua dokumen itu mengambil masa lebih satu jam.

“Ketika itu, Tuhan yang tahu betapa kasarnya tentera Israel memperlakukan kami tanpa perikemanusiaan. Kami kemudian dibawa ke Penjara Be’er Sheva, Israel dengan menggunakan bas dalam perjalanan selama dua jam...bas yang hanya sesuai untuk pengganas,” katanya.

Menurutnya, Be’er Sheva penjara baru dan kumpulan misi itu ‘banduan’ pertama ditahan di dalam sel berasingan penjara berkenaan. Katanya, dia dan kumpulan misi itu menjangka berada dalam tempoh masa lama dalam penjara terbabit sebelum didatangi wakil dari Pertubuhan Palang Merah dan Kedutaan Jordan yang membawa berita gembira iaitu mereka dibebaskan.
Semalam rombongan misi kemanusiaan daripada Malaysia dibebaskan rejim Zionis sebelum diiringi dengan ketat hingga sempadan King Hussein memisahkan Jordan dan Israel.

Ashwad berkata, rombongan itu kemudian ditempatkan di Hotel Crowne Plaza di Amman, Jordan sebelum disambut Duta Besar Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.

“Sebaik melepasi sempadan, saya ucap kesyukuran kepada Allah lebih-lebih lagi selepas lebih 16 jam berada di Penjara Be’er Sheva, Israel,” katanya.

Menurutnya, layanan Israel terhadap sukarelawan misi membawa keamanan termasuk bantuan makanan itu bagaikan banduan apabila diperlakukan dengan kasar.Amir Abd Hamid
am@hmetro.com.my