Saturday, June 5, 2010

Mentaliti hari, malam Jumaat

SEBAGAI bekas kakitangan dan pembaca tetap sebuah akhbar harian arus perdana, saya kurang senang dengan tindakan lembaga pengarangnya menyiarkan gambar perempuan seksi pada setiap kali keluaran akhbar itu.

Gambar berkenaan diletakkan pada sisi kiri muka depan, agak saya bagi menarik pembaca membeli akhbar terbabit. Ada kalanya wanita penghias muka depan itu bagaikan tidak cukup kain, maka tersembullah aset yang sepatutnya disembunyikan. Langkah menyiarkan gambar wanita seksi ini bertujuan menaikan jualan akhbar, sekali gus meningkatkan keuntungan, itulah strategi orang yang otaknya fikir fasal bisnes saja.

Disebabkan adanya gambar itu, saya memboikot daripada membeli akhbar berkenaan, yalah bukankah ada hadis yang antara lain bermaksud, seseorang itu perlu menyatakan bantahan (mengubah) perkara maksiat dengan tangan (kuasa), jika tidak dengan lisan (mulut, menulis) dan yang paling rendah menyatakan bantahan dalam hati dan juga larangan bersubahat dalam perkara maksiat.

Namun ada harinya saya terpaksa juga membeli akhbar berkenaan kerana tiada pilihan disebabkan akhbar lain sudah habis. Akhbar-akhbar lain pun dua kali lima, sarat dengan gambar keterlaluan, yang berbahasa Melayu tetap degil menyiarkan keputusan empat nombor ekor manakala sesetengah akhbar berbahasa Inggeris ghairah menyiarkan iklan minuman keras.

Suatu petang Jumaat saya nekad menelefon ketua pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan bantahan. Bukan senang hendak bercakap dengan pengarang berpangkat Datuk ini, selepas mencuba hampir 10 kali, barulah dapat bercakap dengannya. Saya nyatakan rasa kurang senang dengan penggunaan gambar perempuan seksi yang menjadi penghias muka depan hampir setiap hari.

Saya nyatakan juga alangkah janggal menyiarkan gambar seksi itu pada hari Jumaat, ramailah pembaca menatap gambar wanita itu pada pagi hari kemudian pergi sembahyang Jumaat, begitu bertentangan sekali amalan kita, kejap tengok aurat wanita, kemudian sujud pada Illahi, inilah fikiran sekular, berperangai alim-alim kucing ketika berada dalam masjid tetapi di luar…macam serigala lapar.

Saya nyatakan pada pengarang itu, saya malu untuk mengepit akhbar menyiarkan gambar tak senonoh itu. Demikian juga agak saya dengan ustaz, ustazah, pak haji, tok iman dan mufti, tentulah mereka malu untuk membawa akhbar itu ke sana sini, apatah lagi pada hari Jumaat.

Nampaknya pengarang itu bersetuju dan berjanji akan membuat perubahan. Namun pada hari keesokannya (hari Sabtu), ketika ke gerai akhbar, saya perhatian akhbar itu tetap menyiarkan gambar wanita seksi pada muka depan. Saya pun teruskan boikot saya, tidak beli akhbar itu.

Selepas teguran saya itu, penampilan wanita seksi pada muka depan tetap berlaku kecuali pada hari Jumaat. Pada hari Jumaat disiarkan gambar wanita berpakaian sopan malah kadang-kadang bertudung. Antara gambar dipaparkan adalah artis wanita yang hadir di mahkamah syariah. Tentunya mereka berpakaian sopan termasuk mengenakan tudung.

Demikianlah, betapa sebahagian anggota masyarakat kita bermentalitikan untuk membuat baik dan melakukan kebajikan pada malam dan hari Jumaat sedangkan pada hari lain mereka tidak kisah.

Pengarang akhbar pun berfikiran begitu. Pada setiap hari (keluaran) mereka menyiarkan gambar perempuan seksi tetapi pada keluaran hari Jumaat mereka bertukar sikap, menjadi begitu alim; menyiarkan artikel agama yang menyuruh orang membuat kebaikan dan pada ruangan yang biasanya disiarkan gambar wanita mendedahkan aurat keterlaluan digantikan halaman kegiatan harian seperti pertanian. Jika hari-hari sebelumnya kerap disiarkan gambar buah terlarang tetapi pada hari Jumaat disiarkan buah-buah tempatan seperti betik, mangga dan kelapa mawar.

Jika pengarang akhbar bermentaliti begitu, apa kurang dengan anggota masyarakat. Hari dan malam Jumaat, ramai menjadi alim. Di surau dan masjid, pada malam Jumaat, jemaah sibuk membaca Surah Yassin bersekali dengan tahlil. Ramai baca al-Quran (Surah Yassin) pada malam Jumaat saja, pada malam dan siang hari lain mereka tidak peduli. Baca al-Quran pada malam Jumaat, bagus tetapi alangkah elok mereka membaca dan mentelaahnya sepanjang waktu tanpa menunggu malam Jumaat

Bagi sesetengah wanita, mereka mengenakan baju kurung labuh malah ada yang memadankannya dengan tudung atau selendang pada hari Jumaat. Pada hari lain, mereka tidak peduli, mereka berpakaian seksi, tetapi pada hari Jumaat mahu kelihatan alim. Kononnya mereka menghormati hari Jumaat yang mulia. Apa yang bagusnya, ramai juga gadis Cina dan India (bukan Islam) turut berpakaian baju kurung pada hari Jumaat. Malah budak-budak sekolah bukan Islam pun ramai yang pakai baju kurung pada hari Jumaat.

Bagi budak-budak pula, mereka sering diugut oleh ibu bapa supaya jangan buat nakal pada malam Jumaat. Mereka akan berkata: “Hah kau ingat ini malam apa? Ini malam Jumaat, hormatilah sikit hari Jumaat.” Apakah ini bermakna pada malam dan hari lain, boleh buat nakal? Hantu termasuk pontianak pula dikatakan suka keluar pada malam Jumaat!

Di kalangan sesetengah orang Melayu, malam hari Khamis malam Jumaat dianggap waktu paling istimewa bagi pasangan suami isteri. Jadi berlakulah sindir menyindir kepada pasangan suami atau isteri. Kononnya itulah malam paling sesuai buat ibadah membabitkan suami isteri itu. Persoalannya, mengapa mesti malam Jumaat, malam lain tidak bolehkah? Apakah ia bermakna malam Jumaat wajib, malam lain sunat?

Mentaliti malam Jumaat ini, menyebabkan sesetengah orang kreatif, mengambil kesempatan dan peluang. Misalnya sebuah syarikat memperkenalkan minyak wang dan semburan diberi jenama MJ (Malam Jumaat). Ini adalah orang bijak, mengeksploitasi kepercayaan tidak berasas masyarakat bagi menjana pendapatan lumayan.

Seorang penulis blog (roseharissa.blogspot.com) bertanya: “Tak tahulah kenapa lelaki-lelaki Melayu suka sangat mengaitkan malam Jumaat dengan seks. Habis tu, hari Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu, Ahad, tak bolehkah? Jadi tak keterlaluan dikatakan bahawa ia hanya mitos mengenai 'ibadah sunat' dan tak ada masuk dalam bab sunnah pun. Cuma mentaliti orang Melayu sudah diterapkan zaman berzaman mengaitkan malam Jumaat sebagai malam bulan madu. Seks malam Jumaat tu cuma mitos orang Melayu!”

Beliau mendakwa disebabkan ‘menunggu malam Jumaat’ ada hubungan suami isteri semakin lama semakin hambar, sebab terlalu lama menunggu, maklumkan seminggu sekali. “Sepatutnya setiap hari adalah sama dan istimewa untuk suami isteri...tak payah tunggu hari Khamis malam Jumaat!” tulisnya.Roslan Harun, Melaka.

Thursday, June 3, 2010

Bidik dahi

KUALA LUMPUR: “Saya hanya ingat mati dan berserah kepada Allah sebaik saja cahaya laser senjata seorang unit komando tentera laut Israel dihalakan tepat ke dahi saya,” kata Ashwad Ismail, 25, wartawan Astro Awani ketika dihubungi sejurus melepasi sempadan Israel-Jordan, semalam.
Beliau antara 12 rakyat negara ini terselamat dalam serangan komando rejim Zionis pada Ahad lalu terhadap kapal Turki, Marvi Marmara yang membawa misi bantuan kemanusiaan bersama kira-kira 700 anak kapal lain ke Semenanjung Gaza untuk penduduk Palestin.

Ashwad berkata dalam kejadian jam 4.15 pagi waktu Turki itu, dia dimaklumkan serangan tentera Israel membabitkan 19 bot komando, empat kapal perang, tiga helikopter dan tiga kapal selam.

“Ketika itu saya bersama jurukamera saya (Shamsul Kamal Latip, 38) dan beberapa sukarelawan lain berada dalam bilik rehat di tingkat tiga kapal. Kami terdengar tembakan bertubi-tubi dan letupan, menyebabkan masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Ketika itu saya terpisah dengan Shamsul Kamal, tetapi saya masih mengambil gambar kejadian dengan kamera digital milik saya. Saya menuju bahagian belakang kapal dengan harapan bersembunyi, tetapi langkah saya terhenti apabila menyedari pancaran laser merah dihalakan tepat ke dahi saya oleh komando Israel.

“Anggota komando Israel itu merampas semua barang saya hingga tinggal sehelai sepinggang sebelum mengikat tangan saya dan semua tawanan lain dengan tali kabel. Saya diarahkan berkumpul bersama anak kapal lain yang ditahan. Kami diarahkan duduk dalam beberapa kumpulan di lokasi berasingan dalam kapal,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan maklumat mengenai serangan kapal misi keamanan itu bocor kepada umum menyebabkan tentera Israel sanggup merampas apa saja peralatan komunikasi termasuk pen kerana ingin memastikan kekejaman yang berlaku itu tidak dihebahkan ke pengetahuan masyarakat antarabangsa Ashwad berkata, menurut rakan dalam misi itu, antara tembakan terawal Israel terhadap anak kapal Marvi Marmara ditujukan kepada jurukamera stesen televisyen dari Turki yang membuat siaran langsung kejadian terbabit.

“Komando Israel sengaja menembak di bahagian tangan jurukamera itu untuk memastikan kamera videonya terlepas. Selepas itu, komando Israel menggeledah dan merampas segala alat komunikasi termasuk telefon bimbit, komputer riba, buku catatan, kamera dan pen. Tetapi buku catatan saya tidak dirampas sebab ditulis dalam bahasa Melayu...mungkin komando itu tak faham,” katanya.

Katanya, jika dianalisis kembali, siaran berhubung kejadian itu yang disiarkan media pro Zionis diputar belit kononnya aktivis kemanusiaan terlebih dulu melakukan provokasi walaupun realiti sebaliknya.

Menurutnya, tragedi serangan itu membuka mata dunia mengenai halangan hak kemanusiaan terburuk dan kejam bukan saja kepada misi berkenaan, malah penduduk Palestin yang mengalaminya sejak 1948 ketika Israel ditubuhkan.

Ashwad berkata, selepas ditawan kapal terbabit kemudian menuju ke Pelabuhan Ashdod yang mengambil masa kira-kira 15 jam perjalanan dari lokasi serangan Israel di perairan antarabangsa itu.
Katanya, setiba di Pelabuhan Ashdod, proses untuk keluar dari kapal saja memakan masa hampir 12 jam apabila regim Zionis itu melakukan pemeriksaan seorang demi seorang tawanan dengan prosedur terlalu ketat.

“Pakaian kami dipaksa ditanggalkan semuanya ketika pemeriksaan dilakukan, manakala untuk pemeriksaan semua dokumen itu mengambil masa lebih satu jam.

“Ketika itu, Tuhan yang tahu betapa kasarnya tentera Israel memperlakukan kami tanpa perikemanusiaan. Kami kemudian dibawa ke Penjara Be’er Sheva, Israel dengan menggunakan bas dalam perjalanan selama dua jam...bas yang hanya sesuai untuk pengganas,” katanya.

Menurutnya, Be’er Sheva penjara baru dan kumpulan misi itu ‘banduan’ pertama ditahan di dalam sel berasingan penjara berkenaan. Katanya, dia dan kumpulan misi itu menjangka berada dalam tempoh masa lama dalam penjara terbabit sebelum didatangi wakil dari Pertubuhan Palang Merah dan Kedutaan Jordan yang membawa berita gembira iaitu mereka dibebaskan.
Semalam rombongan misi kemanusiaan daripada Malaysia dibebaskan rejim Zionis sebelum diiringi dengan ketat hingga sempadan King Hussein memisahkan Jordan dan Israel.

Ashwad berkata, rombongan itu kemudian ditempatkan di Hotel Crowne Plaza di Amman, Jordan sebelum disambut Duta Besar Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.

“Sebaik melepasi sempadan, saya ucap kesyukuran kepada Allah lebih-lebih lagi selepas lebih 16 jam berada di Penjara Be’er Sheva, Israel,” katanya.

Menurutnya, layanan Israel terhadap sukarelawan misi membawa keamanan termasuk bantuan makanan itu bagaikan banduan apabila diperlakukan dengan kasar.Amir Abd Hamid
am@hmetro.com.my