Saturday, May 10, 2014

Waktu-waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa

Pada dasarnya semua masa adalah baik untuk melakukan ibadat kerana dalam Islam tidak ada waktu yang buruk atau waktu sial bagi mengerjakan atau memulakan sesuatu pekerjaan, yang ada dalam Islam ialah masa yang lebih baik untuk beribadat. Demikian juga ada masa-masa yang lebih baik dari masa-masa yang lain untuk berdoa di antara masa tersebut ialah :

a. Waktu Malam
Waktu malam adalah waktu yang paling baik untuk beribadat kerana waktu tersebut sunyi sama sekali. Semua makhluk tidur setelah penat bekerja keras di siang hari. Bagi mereka yang insaf dan sedar, mereka tidak melepaskan peluang di waktu malam dengan beribadat dan berdoa.
Allah s.w.t memperkenankan doa hambanya pada waktu malam dan para malaikat turun ke dunia untuk menyampaikan rahmat Allah s.w.t kepada semua makhluk pada waktu malam. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w kita di Israk dan Mikraj pada waktu malam, oleh itu memang selayaknya kita gunakan waktu malam untuk berzikir dan berdoa kepada Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya di waktu malam ada satu masa yang apabila seorang muslim meminta kebaikan kepada Allah tepat pada waktu itu, nescaya Allah memberinya". ( tafsir Yasin, Hammamy)

Waktu-waktu yang paling baik untuk berdoa pada malam hari ada empat waktu iaitu :
1.Waktu tengah malam, iaitu apabila sudah lebih separuh malam (mulai pukul 1.00 malam).
2.Waktu bahagian kedua daripada sepertiga akhir malam.
3.Waktu sepertiga daripada sepertiga akhir malam.
4.Waktu sahur iaitu sedikit masa sebelum terbit fajar.
Jelas di sini waktu separuh malam sehingga terbit fajar adalah merupakan waktu yang berkat, waktu yang baik untuk memajukan permohonan.

b. Waktu pagi - dikala matahari sedang naik (waktu dhuha)

c. Waktu petang - selepas sembahyang Asar

d. Pada hari Jumaat
Hari yang paling baik diantara hari-hari dalam seminggu ialah hari Jumaat. Ia merupakan saat-saat dikabulkan doa. Abu Huraurah meriwayatkan apabila Rasulullah s.a.w menceritakan tentang keutamaan hari Jumaat beliau bersabda : " Pada hari itu ada suatu saat, tiada seorang muslim yang sedang sembahyang bertepatan dengan saat itu, kemudian memohon kepada Allah melainkan dapat dipastikan Allah dapat memberinya".
Imam Muslim meriwayatkan dari hadith Abu Burdah bin Musa Al-Asy'ari bahawa saat yang paling mustajab pada hari Jumaat ialah saat diantara duduknya imam di atas mimbar hingga selesai sembahyang Jumaat".

e. Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan rahmat dan kemuliaan dari awal Ramadhan hingga ke akhirnya. Sabda Allah s.w.t yang bemaksud, " Apabila tiba bulan Ramadhan, maka terbukalah pintu-pintu langit". ( riwayat, Mutafaq Alaih)
Pintu langit terbuka maksudnya Allah s.w.t mencurah-curahkan rahmat kepada hamba-hambanya yang memohon, berdoa dan beribadat kepadanya.
Diantara kemustajaban bulan Ramadhan terdapat satu saat yang paling mustajab iaitu di saat turunya Al-Qadr. Allah akan memakbulkan setiap permohonan hambanya di saat tersebut dan barang siapa beribadat pada malam Lailatul Qadar sama seperti beribadat seribu bulan.

f. Malam Nisfu Sya'aban
Iaitu pada malam 15 hari bulan Syaaban di mana pada malam tersebut Allah s.w.t menukar buku catatan amalan setiap hari dari yang lama kepada yang baru, sudah selayaknyalah digunakan malam tersebut untuk berdoa dan memohon ampun dari Allah s.w.t.

g. Malam Dua Hari Raya
Iaitu malam hari raya Aidil Fitri dan raya Aidil Adha.
Pada malam tersebut selain memperbanyakkan takbir digalakkan juga berdoa.

h. Bulan Rejab
Iaitu malam pertama bulan Rejab di mana malam tersebut sangat mustajab untuk berdoa. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Ada lima malam yang tidak ditolak permintaan (doa) iaitu : malam pertama daripada bulan Rejab, malam Nisfu Sya'aban, malam Jumaat dan dua hari raya".

i. Ketika Sembahyang dan Selepasnya
Dalam sembahyang banyak lafaz doa, oleh itu perelokkan sembahyang, mudah-mudahan Allah memakbulkan permintaan dan permohonan ketika dalam sembahyang.

j. Selepas Membaca Al-Quran terutama selepas khatam Al-Quran

k. Majlis Zikir atau Tahlil, selepas berzikir digalakkan berdoa kerana masa tersebut penuh dengan rahmat Allah

l. Selepas mengangkat air sembahyang

m. Selepas azan sembahyang

n. Selepas Iqamah
Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Hakim bermaksud "Tidak ditolak doa di antara azan dan iqamah". para sahabat bertanya " Apakah yang harus kami baca ya Rasulullah s.a.w? Rasulullah s.a.w menjawab " Mintalah kepada Allah s.w.t kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat". 

sumber: koleksi sunnah Nabi Muhammad saw

No comments:

Post a Comment